Peserta Afrika Kennedy Kidro kekal juara Ipoh International Run 2012

Kennedy Kidro Lihan peserta dari Afrika berjaya mengekalkan kejuaraan apabila muncul tempat pertama dalam acara larian Ipoh International Run (IIR) 2012.

Atlet berusia 24 tahun itu merupakan juara dalam kategori ‘Lelaki Terbuka’.

Beliau yang telah beberapa kali menyertai larian sebegini sebelum ini menyatakan rasa gembiranya kerana berjaya mengekalkan kejuaraan dalam pertandingan ini dan berhasrat untuk meneruskan penyertaan di masa akan datang.

Manakala peserta tempatan R.Venugopal, 25, dari Kuala Lumpur berjaya mendapat tempat kedua bagi kategori sama.

“Bagi saya hadiah yang ditawarkan tidak penting, kepuasaan dapat sertai larian dan dapat di kedudukan kedua merupakan satu kepuasan,” kata Venugopal yang sebelum ini memenangi empat tahun berturut-turut kategori ‘Remaja Lelaki Terbuka’.

Sementara itu, pelajar S.Ashok dari Perak berjaya mendapat tempat pertama dalam kategori Remaja Lelaki Terbuka.

“Sebelum ini saya pernah menyertai larian sebegini tetapi ini merupakan kali pertama saya berjaya dapat tempat pertama,rasa gembira sangat,” kata Ashok.

Acara IIR tahun ini menyaksikan penyertaan lebih 17,000 peserta dari 26 buah negara di serata dunia.

Penglibatan peserta dari Malaysia mencatatkan penyertaan paling tinggi iaitu 17,425 orang, sekaligus menunjukkan peningkatan dari tahun sebelumnya.

Program yang telah masuk tahun ke-17 diadakan ini bersempena dengan Sambutan Ulangtahun Bandaraya Ipoh ke-24 dan juga bertepatan dengan Tahun Melawat Perak 2012.

Sebanyak 12 kategori dipertandingkan dalam larian ini yang melibatkan pelbagai peringkat umur dari 13 hingga 50 tahun.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah, Terbuka, Wanita, Lelaki,Remaja,Veteren dan Pelajar serta satu kategori baru iaitu ‘fun Run’ melibatkan larian sejauh lima kilometer dan ia terbuka kepada pelbagai peringkat umur.

Selain itu juga, jarak yang diberikan juga berbeza mengikut kategori iaitu 21 KM,10 KM,7 KM dan 5 KM.

Dalam pada itu juga, hadiah wang tunai bernilai RM 96,750 dan 1,600 unit medal ditawarkan kepada setiap pemenang dan cabutan bertuah yang menarik diberikan kepada mereka yang bertuah.

Ternyata penyertaan yang menggalakkan daripada para peserta memeriahkan lagi program ini dan membawa kejayaan kepada misi memperkenalkan negeri Perak ke serata dunia.

-peraknews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *