Ipoh – Mengikut Rancangan Tempatan Ipoh 2020, bandaraya Ipoh akan lebih dikenali sebagai destinasi pelancongan beserta produk yang berkualiti, maju dan berdaya saing bagi mempelbagaikan sumber ekonomi.
Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Abdul Rahim Md Ariff berkata terdapat tiga peringkat pembangunan jejak warisan sejarah telah dirancang bagi merealisasikan sektor pelancongan di bandaraya Ipoh menjelang tahun 2020.
“ Antara tiga cadangan peringkat pembagunan ini ialah memperkemaskan lagi lokasi Jejak Warisan Timah 2.5km , Jejak Warisan Kota Lama 4km dan Jejak Warisan Kota Timah 14km.
“MBI sememangnya memberi fokus untuk menjana dan memperkukuhkan asas ekonomi bandaraya melalui aktiviti yang berpotensi dan berdaya saing dalam sektor perniagaan, perindustrian, pelancongan dan pertanian ”, katanya pada ucapan Majlis Pelancaran Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia – “Perak Bike Ride”di Taman D.R. Seenivasagam kelmarin.
Sementara itu menurut Abdul Rahim Pelancaran Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia – “Perak Bike Ride” merupakan penerbitan risalah yang bertujuan menentukan laluan-laluan yang sesuai untuk aktiviti berbasikal oleh pelancong.
Sebanyak 11 pakej-pakej menarik untuk percutian berbasikal di negeri Perak telah ditawarkan didalam risalah tersebut yang melibatkan tujuh agensi pelancongan Perak.
“Seperti mana yang difahamkan, sebanyak 10,000 naskah akan diedarkan ke semua 22 buah Pusat Penerangan Pelancongan Tourism Malaysia di seluruh Malaysia dan pejabat Tourism Malaysia negara seperti Singapura. Risalah ini mampu memberi tambah nilai bagi produk dan lokasi pelancongan di bandaraya Ipoh dengan lebih berkesan.
“Sememangnya ramai yang berminat untuk menerokai destinasi-destinasi yang menarik secara berbasikal terutamanya kepada para pelancong luar negara”, katanya.
Hadir sama pada majlis pelancaran tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah, Tourism Malaysia, Datuk Azizan Noordin, Pengarah Tourism Malaysia Perak, Norshamshida Abdul Rahman dan Presiden Kri Cyling Team, Chong Him Shoong.
–Rosli Mansor Ahmad Razali