Perak Dan Kelantan Bersetuju Berkerjasama Dalam Promosi Pelancongan Negeri

Negeri Perak dan Kelantan telah bersetuju untuk bekerjasama di dalam mempromosi sektor pelancongan kedua-dua negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, usaha ini adalah bagi menarik kedatangan pelancong sempena tahun melawat kedua-dua negeri ini.

Beliau berkata, meskipun terdapat perbezaan politik di antara kedua-dua negeri, namun ia tidak menjadi penghalang di dalam usaha tersebut.

“Soal perbezaan parti yang mentadbir bukanlah isu besar dalam jalinan kerjasama ini. Setiap pelancong yang datang tidak kiralah di mana-mana negeri pun, tidak akan melihat parti mana yang menjadi tampuk kepimpinan sebelum membuat keputusan untuk datang ke negeri berkenaan.

“ Tidak kira siapa yang mentadbir, bila orang ingin pergi melancong, mereka tetap akan melancong. Jadi janganlah kita jadikan perbezaan fahaman politik sebagai penyebab untuk tidak menggalakkan orang datang melancong Ke Perak atau Kelantan,” katanya.

Beliau yang mengetuai rombongan dari Kelantan, berkata sedemikian ketika berucap dalam majlis perjumpaan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir semalam.

Rombongan seramai 60 orang itu disertai oleh pasukan kebudayaan termasuk dikir barat dan nasyid yang akan mengadakan persembahan di kedua-dua negeri.

Takiyuddin menambah, kedudukan negeri Perak dan Kelantan yang berdekatan turut menjadi sebab kenapa kerjasama tersebut wajar diadakan.

“ Keunikan dan keistimewaan yang ada di kedua-dua negeri ini juga mampu merealisasikan
matlamat kedua-dua negeri di dalam memperomosikan kawasan pelancongan di negeri masing-masing.

“ Melalui perjanjian persefahaman ini, kedua-dua negeri melalui Jawatankuasa Pelancongan masing-masing akan mengatur pelbagai program dalam usaha menarik pelancong melawat negeri kami, ” katanya.

-Peraknews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *