KBGK Bantu Kerajaan Negeri Promosi TMP 2012

Usaha untuk mengekalkan kebersihan bandaraya Ipoh dari aktiviti pembuangan sampah secara haram akan dipergiatkan menjelang tahun 2012.

Presiden baru Kelab Bakti Gunung Keledang 2012 (KBGK), Datuk Megat Shahrani Megat Sharuddin berkata beliau telah merangka beberapa program bagi memastikan bandaraya Ipoh bebas dari pembuangan sampah haram.

“Ini merupakan salah satu tanggungjawab yang seharusnya dilaksanakan selaras dengan matlamat KBGK yang prihatin dengan persekitaran bandaraya demi untuk kepentingan semua.

Kami akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memastikan kawasan-kawasan yang menjadi tempat pembuangan sampah dapat dilunaskan dengan segera”, katanya pada majlis Isiadat Pemasyhuran Presiden KBGK 2012 di Crystal Ballroom, Impiana Hotel.

Sempena Tahun Melawat Perak 2012, KBGK juga merancang akan membantu usaha Kerajaan Negeri dalam mempromosikan produk pelancongan di negeri Perak.

“Sepertimana usaha Tourism Perak yang sedang giat melakukan persiapan sempena Tahun Melawat Perak 2012, saya dan ahli KBGK akan memperluaskan lagi promosi ke luar negara. Usaha ini akan pasti lebih berkesan dan dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri Perak,” katanya .

Majlis yang gilang gemilang itu turut dihadiri oleh DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bersama DYTM Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim merupakan diantara tetamu kehormat.

KBGK yang dianggotai lebih 60 orang yang terdiri dari ahli-ahli professional telah ditubuhkan pada 16 Mei 1977. KBGK lebih menumpukan berbagai aktiviti amal kemasyarakatan. Antara golongan sasaran yang diberi perhatian penuh oleh KBGK ialah golongan fakir miskin harta dan miskin ilmu, anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal.

Sementara itu bekas Presiden KBGK 2011, Datuk Mohamad Razali Khalid, turut melahirkan rasa gembira kerana sepanjang setahun bertindak sebagai presiden KBGK telah berjaya menjalankan berbagai program kemasyarakatan.

“Pusat Jagaan Rumah Ihsan Ipoh dan Rumah Anak Yatim Darussalam telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya oleh semua warga KBGK dengan kerjasama dari berbagai pihak. Ini menunjukkan kegigihan ahli-ahli KBGK bagi merealisasikan misi kelab ini.

Saya berharap dengan adanya kedua rumah perlindungan ini akan dapat menyelesaikan sebahagian besar masalah golongan-golongan yang memerlukan bantuan dan perhatian”,katanya.

-Peraknews

Leave a Reply