“Ketika saya bersalam-salaman dengan rakyat di sini, mereka memegang erat tangan saya seolah-oleh tidak mahu melepaskannya sambil mengucapkan terima kasih kerana membela nasib semua kaum di Malaysia.”
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap di hadapan lebih 60,000 rakyat jelata yang membanjiiri padang Lapangan Terbang Sitiawan bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2012 yang kemudiannya disambut dengan tepukan gemuruh daripada hadirin.
Beliau berkata, dalam tempoh tiga lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) melakukan tranformasi baik dari segi ekonomi dan politik bagi memakmurkan negara ini.
Katanya, transformasi itu membawa faedah kepada semua kaum termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bernilai RM500 yang diberikan kepada ketua isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.
“Dasar transformasi kerajaan yang diamalkan negara ini membawa faedah kepada semua kaum dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat,” katanya lagi.
Sehubungan itu, lebih banyak perubahan dari segi ekonomi dan sosial dapat dilakukan jika BN diberi mandat untuk memerintah dalam masa lima tahun akan datang, kata Najib lagi.
Sementara itu, beliau berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang berjaya memelihara dan menghormati budaya kaum Cina, lebih daripada yang apa yang diamalkan di negara China itu sendiri.
Katanya, ketika berlaku revolusi di China, budaya Cina telah dihapuskan tetapi apa yang berlaku di Malaysia, masyarakat Cina dapat mengekalkan budaya mereka kerana ia dihormati oleh rakyat negara ini.
“Generasi muda perlu mengetahui bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan yang sama sejak merdeka memelihara kesucian warisan dan budaya masyarakat Cina,” katanya.
Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan seni persembahan chingay sebagai warisan negara untuk dikekalkan bagi tatapan generasi akan datang.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan; Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha.
-Peraktoday