200 Pesilat Buat Cubaan Persembahan Tanpa Henti 24 Jam

Satu persembahan seni silat 24 jam tanpa henti akan berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar bermula 31 Mac hingga 1 April depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Zainol Padzi Paharuddin berkata, seramai 200 pesilat akan dipilih untuk membuat persembahan yang julung-julung kali diadakan itu.

“Selain untuk menarik kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2012, persembahan itu juga untuk mencipta rekod dalam The Malaysian Book of Records,” katanya pada sidang akhbarnya di Ipoh.

Zainol Padzi berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan beberapa persatuan silat termasuk Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Perak bagi membolehkan mereka menghantar senarai pesilat yang layak.

“Kita turut merancang untuk menjemput kumpulan gendang bagi mengiringi persembahan berkenaan supaya acara itu lebih meriah dan menarik.

“Selain itu, beberapa peserta luar negara termasuk dari Thailand dan Jepun juga kita jemput bagi membuat persembahan seni mempertahankan diri lain seperti karate dan taekwando pada hari berkenaan,” katanya.

-Peraknews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *