Projek Tebatan Banjir Dan Hospital Baru Berita Baik Buat Rakyat – MB

Menteri Besar, Dato Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menbina sebuah hospital baru di Parit Buntar sebagai keprihatinan kerajaan terhadap keperluan dan kepentingan rakyat.

Katanya, hospital yang dijangka menelan kos jutaan ringgit akan didirikan dikawasan tapak hospital lama dengan memiliki sebanyak 300 bilik untuk kemudahan pesakit.

“Ini merupakan berita baik buat rakyat Perak khususnya di kawasan Parit Buntar, Bagan Serai dan kawasan yang berhampiran termasuk Pulau Pinang dan Kedah,’’ katanya kepada pemberita di majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan 2011 di Padang Bandaran Parit Buntar semalam.

Katanya selain itu, rakyat Kerian juga mendapat berita baik apabila kerajaan meluluskan peruntukan RM490 juta bagi melaksanakan projek tebatan banjir bagi mengatasi masalah banjir yang sekian lama dihadapi penduduk.

Katanya, peruntukan tambahan sebanyak RM57 juta yang diumumkan Perdana Menteri bagi membina tebatan sebagai langkah menghalang kemasukan air masin dari laut ke kawasan sawah sehingga menjejaskan pengeluaran hasil padi juga merupakan berita gembira buat golongan petani di kawasan Kerian.

Dr. Zambry berkata, dengan pelaksanaan projek tebatan banjir dan langkah mengatasi masalah air pasang surut khususnya di kawasan Kerian ini dapat menyelesaikan masalah ancaman banjir yang sekian lama dihadapi penduduk.

Katanya, langkah ini juga diharap dapat meningkatkan hasil keluaran padi bagi kalangan petani yang ketika ini agak terjejas akibat ancaman banjir.

-Peraknews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *