Penuntut UTP Adakan Konsert Muzik Tradisional April Ini

utp

Penuntut Universiti Teknologi Petronas (UTP) akan mengadakan konsert muzik tradisional di Dewan Filharmonik Petronas di sini bulan depan.

Naib Canselor UTP Datuk Dr Zainal Kassim berkata konsert selama dua hari bermula 9 April itu akan memaparkan warisan muzik tradisional gamelan dan okestra Cina.

Okestra Cina akan melakukan dua persembahan iaitu ‘Roots of Heritage’ dan ‘The Sounds of Spring’, manakala muzik gamelan pula akan dipersembahkan kumpulan gamelan UTP serta kumpulan gamelan dari Indonesia dan Singapura, katanya pada sidang media, di sini Khamis.

Zainal berkata persembahan ‘The Sounds of Spring’ akan dipimpin maestro dari Taiwan Qu Chua Quan dan bintang soprano dari China Li Lu serta penyanyi berbakat tempatan Yen Yock.

Selain itu, penonton juga akan dihiburkan dengan tarian tradisional oleh Kumpulan Seni Pentas UTP, serta tarian rakyat dari Thailand, Mozambique dan Uzbekistan oleh pelajar antarabangsa UTP dan persembahan daripada artis tempatan Adibah Noor.

Tiket untuk persembahan ‘Sounds of Spring’ berharga RM80, RM55, RM35 dan RM20, manakala bagi persembahan ‘Roots of Heritage’, tiket dijual pada harga RM100, RM75, RM50 dan RM35.

Konsert ‘Roots of Heritage’ dijangka dihadiri Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim, manakala konsert ‘Sounds of Spring’ dijangka dihadiri Canselor UTP Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Zainal berkata hasil jualan tiket akan disalurkan kepada Yayasan UTP yang akan digunakan untuk biasiswa dan geran bagi penyelidikan.

Untuk maklumat lanjut atau tempahan tiket, orang ramai boleh ke Dewan Filharmonik, atau hubungi talian 03-20517007 atau melayari laman web www.dfp.com.my

-peraknews

Leave a Reply