Perak Optimis Capai Sasaran Peningkatan 60 Peratus Pelancong

Pemilihan 2012 sebagai Tahun Melawat Perak sememangnya tepat dan kena pada waktunya memandangkan negeri ini kini sedang mengalami transformasi pembangunan dan ekonomi yang begitu rancak sekali.

Pembangunan pesat ini boleh dirasai penduduk terutama wargakota Ipoh yang ketika ini terpaksa berhadapan dengan kesesakkan lalu lintas di sana sini sejak tiga tahun kebelakangan ini yang merupakan petanda tahap pembangunan yang dialami sesebuah bandaraya.

Konotasi seperti ‘bandaraya pencen’ yang sering dikaitkan dengan Ipoh bakal menjadi kenangan lalu berikutan kewujudan banyak kawasan komersial baru dan bangunan tinggi yang sudah sedikit sebanyak mengubah landskap Ipoh menjadi bandaraya metropolitan.

Paling ketara adalah kemunculan beberapa hotel-hotel baru bertaraf antarabangsa di sekitar negeri Perak dan bajet hotel yang tumbuh bak cendawan selepas hujan terutamannya di bandaraya Ipoh.

Kewujudan hotel bertaraf antarabangsa ini amat sesuai sekali kerana ia berlaku pada waktu negeri ini mengalu-alukan kedatangan pelancong sekaligus memastikan Perak bersedia menerima kebanjiran pengunjung dalam dan luar negara.

Beberapa hotel-hotel yang menyediakan kemudahan antarabangsa telah bercambah dengan pesat dan terkini dalam senarai ialah Hotel Riverside yang terletak di pusat Bandaraya Ipoh.

Hotel tersebut yang sudah mula beroperasi secara tidak rasmi menyediakan kemudahan penginapan bertaraf antarabangasa, sepertimana Hotel Impiana Casuarina, Hotel Heritage dan Hotel Tower Regency di Ipoh, serta Hotel Flemington dan Hotel Traders di Taiping.

Ianya akan diikuti dengan Tune Hotel Ipoh yang dijangka beroperasi pada Mac ini dengan kemudahan 242 bilik yang terkenal menawarkan harga penginapan termurah melalui tempahan internet.

Dengan tarikan keindahan alam semulajadi, sejarah, kebudayaan dan pelbagai makanan lazat dan murah, Kerajaan Negeri amat optimis bahawa sasaran peningkatan 60 peratus pelancong sempena TMP 2012 mampu dicapai.

Dan dengan usaha promosi besar-besaran yang dijalankan sebelum ini, ia sudah pasti dapat menarik ramai pelancong tempatan dan luar negara untuk menikmati semua tarikan yang ada.

Baru-baru ini satu majlis gilang gemilang telah diadakan bagi menyambut ketibaan TMP dengan pelancarannya dibuat tepat jam 12 tengah malam bersempena dengan kedatangan 1 Januari, 2012.

Lebih 5,000 hadir di Stadium Indera Mulia untuk bersama-sama Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir melancarkan TMP. Turut dilancarkan pada malam itu adalah Fiesta Pelancongan Perak dan Ambang 2012.

Pelancaran itu melakar sejarah baru dalam pembangunan industri pelancongan Perak yang dijangka menerima kehadiran lima juta pelancongan tahun ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Saripah Zulkifli; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R. Ganesan; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Berucap pada majlis itu, Menteri Besar berkata, 2012 bakal menyaksikan satu detik penting bagi negeri ini iaitu bermulanya TMP 2012.

Dr Zambry turut menyeru setiap lapisan rakyat supaya menunjukkan identiti dan keramahan mereka sepanjang TMP bagi menjadikan Perak antara negeri yang terkenal dalam pelancongan dunia.

“Wajah-wajah rakyat Perak yang akan kita tunjuk kepada para pelancong. Kita tonjolkan keramahan dan identiti rakyat Perak.

“Kita tidak hanya menunjukkan kehebatan bangunan-bangunan yang kita ada kerana orang akan ingat keramahan serta budi baik yang kita tonjolkan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua rakyat, beliau yakin sasaran lima juta pelancong pada TMP 2012 dapat dicapai.

Dr Zambry berkata, kerajaan negeri telah membuat segala persiapan dan sudah bersedia untuk menyambut kehadiran pelancongan sepanjang TMP.

“Perak juga akan meneruskan agenda yang telah dilakar dalam wawasan Perak Amanjaya dan berharap matlamat untuk mencapai negeri maju dapat dicapai,” katanya.

-Peraknews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *