Kapal Korek Bersejarah Bakal Temui Pelancong Awal 2012

Kapal korek bijih timah pertama di negara ini yang terletak di Tanjung Tualang bakal dibuka secara rasmi untuk dilawati pelancong dan pengunjung selewat-lewatnya awal tahun hadapan, kata Exco Perlancongan, Datuk Hamidah Osman.

Katanya, setakat ini kerja-kerja pembaikan telah berada di fasa pertama dalam usaha memastikan monumen bersejarah itu berada dalam keadaan sempurna daripada segala aspek termasuk aspek keselamatan sebelum ianya dibuka secara rasmi kepada pelancong .

Peruntukan yang diperoleh merupakan hasil daripada perlaksanaan tabung program ‘Save The Dredge’ hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan pengusaha bijih timah dalam usaha menyelamatkan satu-satunya kapal korek yang masih wujud di negara ini.

“Di peringkat pertama, sebanyak RM420,000 telah digunakan untuk tujuan membaik pulih kapal korek ini dan hasilnya, kapal korek ini telah dapat diapungkan berbanding sebelum ini keadaannya yang agak senget.

“Fasa kedua dan ketiga pula dijadualkan akan selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun ini yang melibatkan kerja-kerja baik pulih lain termasuk kerja-kerja mengecat dan mebaiki sebarang kecacatan kapal korek sebelum dibuka untuk dilawati pelancong dan pelawat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan lawatan kerja di kapal korek Tanjung Tualang, siang tadi.

Katanya, beliau yakin kapal korek ini bakal menjadi salah satu produk perlancongan yang mampu meningkatkan kebanjiran pelancong di negeri ini dalam persediaan menyambut Tahun Melawat Perak.

Namum katanya, sebarang kerja-kerja pengindahan landskap di sekitar kawasan kapal korek masih berada di peringkat perbincangan.

Kapal korek bijih timah yang telah diwujudkan sejak tahun 1913 merupakan kapal korek pertama yang telah diperkenalkan di negara ini.

Kapal ini telah dihadiahkan oleh Malaysian Mining Corperation (MMC) kepada Kerajaan Negeri sekitar tahun 1990-an untuk dijadikan monumen sejarah dan tarikan perlancongan di negeri ini.

-Peraknews.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *