Peranan Pengusaha Hotel Dapat Hangatkan TMP 2012

Pengusaha-pengusaha hotel diminta bekerjasama mempromosikan serta menghangatkan suasana Tahun Melawat Perak (TMP) 2012 yang akan bermula tidak lama lagi.

Exco Pelancongan Negeri, Datuk Hamidah Osman berkata pengusaha hotel mempunyai peranan besar membantu Kerajaan Negeri dan Tourism Perak menjayakan TMP.

Katanya salah satu peranan yang dapat dimainkan mereka adalah untuk mengedarkan bahan-bahan promosi serta mempamerkannya di hotel masing-masing.

“Selain mengedarkan risalah-risalah, bahan-bahan promosi ini termasuklah menggalakkan kakitangan hotel memakai lencana TPM, meletakkan pelekat kereta dan sebagainya. Secara tidak langsung, semua pelancong dan pengunjung tempatan yang datang dapat merasakan kehangatkan TMP.

“ Jika hanya diletakkan di agensi kerajaan, mesej yang hendak disampaikan berkenaan TMP 2012 ini tidak akan sampai ke sasaran utamanya, “ katanya kepada pemberita selepas melancarkan gimik penyerahan bahan promosi TMP 2012 di Hotel Syuen.

Terdahulu, Hamidah turut menyampaikan gimik penyerahan bahan promosi TMP 2012 di Stesen Keretapi KTMB dan ETS.

Ditanya mengenai kerjasama yang diberikan daripada agensi yang terlibat, Hamidah berkata kesemua agensi memberi komitmen tinggi memastikan TMP akan berjaya mencapai matlamatnya.

“Kita telah terima persetujuan secara lisan dan hanya menunggu kepada perlaksanaan yang dibuat secara fizikal oleh agensi terlibat,” katanya.

Katanya bagi menggalakkan lagi kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk pengusaha hotel, Tourism Perak akan mengadakan Pesta Tahun Melawat Perak pada 28 hingga 30 Disember.

“ Antara acara yang terlibat termasuk pertandingan melipat napkin, dekorasi makanan dan sebagainya. Ini dapat memantapkan lagi kerjasama antara hotel dan pihak Tourism Perak sekaligus membantu mempromosikan TMP di pesta itu nanti,” katanya.

-Peraknews

Post a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*