Kerajaan Akan Raikan Pemilihan Lembah Lenggong

Kerajaan negeri Perak akan mengadakan sambutan besar-besaran bagi meraikan pemilihan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Zambry Abd Kadir berkata, satu Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Exco Pelancongan, Dato’ Hamidah Osman akan mengadakan perbincangan serta melaksanakan program ini bagi meraikan pengiktirafan itu.

“Lembah Lenggong yang dipilih sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO bukan saja menjadi kebangaan rakyat Perak tetapi ia juga merupakan satu aset nasional bagi negara ini,’’ katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di pejabatnya di Bangunan SUK hari ini.

Dr Zambry berkata, beliau telah menerima berita gembira ini daripada Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Profesor Emeritus Dato’ Zuraina Abdul Majid semasa berada di luar negara baru-baru ini.

Katanya, beliau juga telah sembah maklum kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mengenai pemilihan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia.

Menurut beliau, baginda Sultan begitu terharu dan teruja dengan keputusan UNESCO yang memilih Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia.

Katanya, permohonan kerajaan Perak untuk men jadikan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia telah dibuat sejak tahun 1992 lagi dan panel pemilihannya dibuat oleh wakil-wakil daripada 21 buah negara.

-peraknews

Post a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*