BN Tidak Menerima Tempias Akibat Roadshow Anwar – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap tindakan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim membuat roadshow dalam dan diluar negara selepas pembebasannya atas tuduhan liwat sebagai satu perkara biasa untuk meraih sokongan rakyat.

Malah, katanya, BN tidak akan menerima sebarang tempias akibat tindakan road show Anwar itu kerana BN sejak dulu lagi apabila setiap kali menghadapi pilihanraya BN sentiasa akan berdepan dengan pembangkang.

” Roadshow ini merupakan perkara biasa, dia pembangkang apa modal yang dia ada melainkan membuat road show untuk merasih sokongan rakyat,’’ katanya kepada media selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan 2011 di Padang Bandaran Parit Buntar hari ini.

Menurut Datuk Seri Najib, sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, masing-masing ada kaedah dan cara untuk meraih dan mendapatkan sokongan rakyat.

Sehubungan dengan itu, kata Perdana Menteri, memandangkan perkara ini merupakan satu perkara biasa dalam amalan demokrasi, beliau tidak mahu isu ini dilihat dan dianggap oleh mana-mana pihak sebagai satu perkara yang luar biasa.

Padang sidang media itu juga beliau menjelaskan bahawa tindakan kerajaan meluluskan peruntukan RM490 juta bagi projek tebatan banjir di daerah Kerian adalah sebagai langkah mengatasi masalah banjir yang dihadapi sejak sekian lama oleh penduduk Kerian.

“Projek tebatan banjiir ini adalah hasil daripada cadangan dibawa oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir kepada saya bahawa kawasan kawasan Kerian sering mengalami banjir yang agak serius.

“Oleh itu kerajaan Pusat mengambil keputusan untuk meluluskan satu peruntukan RM490 juta bagi melaksanakan projek tebatan banjir,’’ katanya.

Menurut Datuk Najib lagi, fasa pertama projek ini sudahpun di tender dan menunggu keputusan untuk kelulusan bagi menentukan pihak mana yang berjaya.

Katanya, fasa pertama ini juga melibatkan pembinaan ban kiri dan kanan Sungai Kerian dan Sungai Kurau.

Selain itu,kata Najib, pembinaan ban blok di depan laut akan dibuat bagi mengelak air masin daripada memasuki kawasan sawah padi sehingga menjejaskan keluaran padi dan ini membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta.

-Peraknews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *