5 Juta Pelancong Disasar Bagi Tahun Melawat Perak

Kerajaan negeri mensasarkan seramai 5 juta pelancong sempena Tahun Melawat Perak yang akan bermula tahun depan, kata Exco Pelancongan, Datuk Hamidah Osman.

Katanya pelbagai program telah direncanakan bagi menarik kedatangan pelancong sekaligus memastikan sasaran itu dicapai.

Katanya antara program-program yang dijangka menarik pelancong adalah seperti Royal Golf Challage, Festival Orkid Antarabangsa, International Conference University, dan International Drum Festival yang melibatkan 9 buah negara seluruh dunia.

“Setiap program yang dianjurkan ternyata mempunyai kumpulan sasaran tertentu yang menarik minat mereka untuk datang ke negeri ini dan seterusnya menikmati keindahan-keindahan yang diketengahkan.

“Selain itu, tidak dinafikan bahawa aspek keselamatan perlu dititikberatkan. Namun, pendekatan negeri perak adalah berbeza di mana kita mahukan pihak-pihak terlibat seperti ahli politik, kerajaan dan pihak swasta yang terlibat memainkan peranan masing-masing dalam usaha menaikkan sektor pelancongan negeri.

“Orang ramai juga mempunyai peranan mengalu-alukan pelancong seperti memberi gambaran terbaik, senyuman dan maklumat yang jelas kepada para pelancong supaya Perak menjadi tempat yang disukai dan diminati pelancong untuk dilawati,” katanya.

Hamidah menjawab soalan Yee Sue Kai (DAP-Pokok Assam) yang bertanyakan mengenai program bagi Tahun Melawat Perak 2012 dan promosi-promosi yang dilaksanakan.

Hamidah berkata persiapan untuk Tahun Melawat Perak telahpun dibuat sejak dua tahun yang lalu di mana setiap program yang telah dan akan dilaksanakan bertujuan mempromosi negeri Perak.

-Peraknews

Post a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*